Apa itu HIV (Human Immunodeficiency Virus) ?
HIV adalah virus yang memusnahkan sistem ketahanan badan seseorang dan 
menyebabkan AIDS. Terdapat 2 jenis virus HIV iaitu HIV-1 dan HIV-2. 
HIV-1 merupakan jangkitan yang sangat berbahaya kepada orang ramai 
manakala HIV-2 pula tidak begitu berbahaya. HIV menyerang Sistem daya 
tahan badan, menyebabkan badan lemah dan tidak berupaya melawan 
jangkitan penyakit. Jika seseorang disahkan dijangkiti HIV, orang itu 
dipanggil positif HIV tetapi tidak semestinya dia menghadapi AIDS kerana
 AIDS adalah peringkat terakhir jangkitan HIV.
* Sistem daya tahan badan adalah 
mekanisma badan yang terdiri daripada sel darah putih. Dalam keadaan 
normal, sel-sel ini membantu tubuh melawan jangkitan kuman dan penyakit 
yang disebabkan oleh virus dan bakteria. Apabila HIV telah menyerang 
badan seseorang, sel-sel ini tidak lagi mampu melaksanakan tanggungjawab
 mereka kerana telah dimusnahkan secara perlahan-lahan oleh HIV. Ini 
bermaksud bahawa HIV akan turut memusnahkan keupayaan tubuh badan untuk 
melawan penyakit.
* AIDS (Acquired Immune Deficiency Syndrome – Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit)
AIDS bukanlah satu penyakit yang 
tersendiri. AIDS merujuk kepada kumpulan penyakit-penyakit yang dihidapi
 oleh orang-orang yang positif HIV. Dengan lumpuhnya keupayaan tubuh, 
mereka yang dijangkiti HIV lebih mudah terdedah kepada pelbagai jenis 
kuman termasuklah yang tidak membahayakan manusia normal. Di antara 
penyakit-penyakit ini termasuklah jangkitan-jangkitan oportunistik 
(iaitu yang mengambil kesempatan) seperti radang paru-paru, batuk 
kering, thrush (selaput putih pada lidah dan dalam mulut), beberapa 
jenis barah dan beberapa jenis penyakit kulit seperti kayap.
AIDS merupakan peringkat lanjutan bagi jangkitan HIV. Perkembangan penyakit ini melalui beberapa fasa:
- Fasa 1: Bermula dengan HIV menjangkiti seseorang individu.
 
- Fasa 2: Di mana virus tersebut 
membiak tetapi pesakit masih tidak mempamerkan sebarang tanda-tanda atau
 gejala-gejala yang tertentu.
 
- Fasa 3: Membiak dan berkembang 
membawa kepada kewujudan beberapa tanda dan gejala yang memburukkan lagi
 mekanisme pertahanan tubuh.
 
- Fasa 4: Pesakit mula mengalami 
penyakit-penyakit yang jarang berlaku yang digelar ‘infeksi 
oportunistik’ seperti Pneumocystis Carinii Pneumonia dan kanser termasuk
 Sarkoma Kaposi.
 
- Fasa 5: Pesakit tersebut disahkan
 sebagai pesakit AIDS. Di dalam fasa ini, mekanisme pertahanan mengalami
 kemusnahan yang teruk dan sudah tidak mampu lagi untuk melawan serangan
 bakteria, virus dan kuman-kuman lain.
 
Bagaimanakah HIV boleh dijangkiti?
HIV boleh dijangkiti melalui cara-cara berikut:
- Melalui perhubungan seks tidak selamat dengan mereka yang positif HIV.
 
- Hubungan seks anal, oral(mulut), dubur, faraj tanpa perlindungan dengan pasangan yang dijangkiti.
 
- Hubungan seks di mana air mazi, air mani atau darah daripada mereka yang dijangkiti masuk ke dalam badan orang lain.
 
- Hubungan seks tanpa menggunakan kondom lateks jika pasangan positif HIV.
 
- Perlakuan seks seperti 
bersentuhan atau melancap dimana kedua-dua pihak mempunyai luka atau 
ruam pada kulit mereka dimana salah seorang adalah positif HIV.
 
- Melakukan hubungan seks tidak 
selamat dengan pelacur atau pondan atau berbilang pasangan yang tidak 
diketahui status kesihatan mereka (berisiko).
 
- Melalui perkongsian jarum atau bahan-bahan suntikan dengan orang yang dijangkiti.
 
- Mempunyai pasangan yang mengambil dadah (berisiko).
 
- Dari ibu ke anak semasa kehamilan, kelahiran atau menyusu badan jika si ibu adalah positif HIV.
 
Jika 
anda pernah melakukan salah satu daripada perkara-perkara di atas maka 
terdapat kemungkinan anda telah dijangkiti virus HIV. Jangan perkecilkan
 kemungkinan ini kerana virus HIV membiak dan memusnahkan sistem 
ketahanan badan secara senyap-senyap walaupun anda kelihatan sihat 
sahaja tanpa sebarang tanda atau simptom.
HIV hanya boleh dipindahkan apabila 
bendalir badan (darah termasuk darah haid, air mazi dan air mani) 
daripada individu yang telah dijangkiti memasuki tubuh individu yang 
belum dijangkiti. Darah atau cecair-cecair badan boleh memasuki salur 
darah orang lain melalui luka, kesan lecetan, kudis atau lain-lain cara.
 Mereka yang menjaga pesakit-pesakit AIDS dan yang memberi pertolongan 
cemas patut mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggunakan sarung 
tangan getah semasa melakukan tugas.
Seks selamat meminimumkan risiko 
jangkitan, tetapi tidak menghapuskan jangkitan sama sekali. Aktiviti 
seksual akan sentiasa mempunyai risiko terutama jika salah seorang 
pasangan adalah positif HIV. Seks selamat juga boleh mencegah jangkitan 
penyakit kelamin yang boleh meninggikan risiko jangkitan HIV. 
Penyakit-penyakit kelamin memudahkan HIV menjangkiti sel-sel badan.
Bagaimanakah HIV tidak boleh dijangkiti?
- HIV tidak dapat hidup di luar tubuh manusia.
 
- HIV tidak boleh berjangkit melalui air peluh, air kencing atau air mata.
 
- HIV tidak boleh berjangkit menerusi kulit yang sihat ataupun melalui udara.
 
- HIV tidak boleh hidup di luar badan manusia seperti di atas kulit atau pakaian, dalam air atau udara.
 
- HIV tidak boleh dijangkiti melalui:
- Pendermaan darah kerana peralatan
 yang digunakan untuk mengambil darah tersebut adalah disteril dan hanya
 digunakan sekali sahaja.
 
- Proses pemindahan darah kerana 
pada masa sekarang, semua darah yang didermakan di Malaysia telah 
disaring untuk mengesan kehadiran antibodi HIV. Antibodi HIV adalah 
bahan yang dihasilkan oleh tubuh mereka yang dijangkiti sebagai tindak 
balas terhadap jangkitan virus HIV.
 
- Berjabat tangan, berpelukan, bersentuhan, melancap dan berciuman ringan.
 
- Berkongsi telefon, kolam renang dan tandas awam.
 
- Berkongsi makanan.
 
- Menggunakan pinggan, sudu dan 
gelas yang digunakan oleh pesakit HIV kerana virus HIV tidak boleh hidup
 lama di luar tubuh manusia. Peralatan tersebut apabila dibasuh seperti 
biasa akan membunuh virus HIV.
 
- Berkongsi tempat tinggal, bekerja bersama, belajar bersama atau berkongsi tempat tidur.
 
- Bersin, batuk, air peluh atau air kencing.
 
- Gigitan serangga (termasuk gigitan nyamuk) atau binatang.
 
- Menjaga seseorang yang positif HIV.
 
 
Apakah tanda-tanda atau simptom-simptom jangkitan HIV?
Permulaan jangkitan HIV biasanya tidak menunjukkan sebarang tanda. 
Sebilangan pesakit mengalami gejala-gejala berikut dalam masa 2-6 minggu
 selepas dijangkiti HIV seperti demam, selesema, sakit tekak, batuk, 
sakit otot, sakit kepala, cirit-birit, bengkak kelenjar limfa, letih, 
ruam, sakit sendi atau turun berat badan tetapi ini berlainan dari 
seseorang ke seseorang yang lain. Tanda-tanda awal ini boleh sembuh 
dalam beberapa hari. Penyakit-penyakit ringan seperti ini juga mungkin 
bukan disebabkan HIV tetapi akibat jangkitan virus yang lain. Oleh 
kerana tanda-tanda ini boleh sembuh seperti biasa, is sering disangka 
sakit biasa.
Ada juga kesan yang dipanggil 
asymptomatic, iaitu tidak menunjukkan apa-apa tanda sama sekali, yang 
mungkin mengambil masa beberapa tahun tanpa diketahui sehinggalah sistem
 daya tahan badannya menjadi lemah dan orang tersebut jatuh sakit 
disebabkan jangkitan penyakit yang berulang-kali. Keadaan ini amat 
merbahaya kerana dalam jangka waktu tersebut seseorang yang positif HIV 
mungkin akan memindahkan virus yang terselindung ini kepada orang lain 
tanpa disedarinya. Jadi satu-satunya cara untuk mendapat kepastian 
adalah dengan menjalani Ujian Antibodi HIV terutamanya jika anda rasa 
anda telah melakukan aktiviti yang berisiko.
Jangan terlalu yakin jika anda berasa 
sihat. Jangkitan HIV tidak menunjukkan tanda sehingga sistem daya tahan 
badan anda mulai menjadi lemah. Anda bernasib baik jika ia tiada dalam 
tubuh anda. Tapi mungkin juga virus itu sedang membiak dan memusnahkan 
sistem daya tahan badan anda sedikit demi sedikit. Anda mungkin tidak 
merasakannya, sehingga hampir keseluruhan sistem daya tahan badan anda 
dimusnahkan. Dan dalam pada anda tidak menyedari kehadiran HIV itu anda 
mungkin telah menjangkiti orang lain.
Pengesahan segera memungkinkan rawatan 
segera jika anda disahkan positif HIV. Sebaliknya, alangkah leganya jika
 anda disahkan tidak menghidapinya.
Bagaimanakah caranya untuk mengetahui samada saya telah dijangkiti?
- Satu-satunya cara untuk mengetahui samada anda telah dijangkiti virus HIV adalah dengan menjalani Ujian Antibodi HIV.
 
Bagaimanakah caranya untuk mengetahui samada saya telah dijangkiti?
- Satu-satunya cara untuk mengetahui samada anda telah dijangkiti virus HIV adalah dengan menjalani Ujian Antibodi HIV.
 
Ujian Antibodi HIV
Ujian Antibodi HIV ialah ujian darah 
bagi mengesan kehadiran antibodi HIV dalam tubuh. Antibodi ialah sejenis
 protin yang dihasilkan oleh tubuh badan bagi melawan anasir-anasir 
asing seperti kuman dan virus yang menyerang sistem badan. Terdapatnya 
antibodi HIV dalam darah menunjukkan jangkitan HIV telah berlaku. 
Bagaimanapun bagi jangkitan HIV, antibodi HIV yang dihasilkan ini hanya 
mampu melawan virus HIV ini di peringkat awal jangkitan. Bila virus HIV 
ini membiak dan menjadi semakin banyak, antibodi HIV ini menjadi semakin
 lemah dan tidak berupaya melawannya.
Mengikut cadangan doktor, ujian HIV ini 
perlu dijalankan setelah 3 bulan daripada tarikh kemungkinan terkena 
jangkitan, walaupun bagi sebahagian orang kewujudan antibodi HIV dalam 
darah dapat dikesan seawal 2 minggu atau secara puratanya 25 hari 
selepas jangkitan. Bagi sebahagian orang pula antibodi HIV hanya dapat 
dikesan dalam darah setelah 3 bulan. Jika keputusan ujian setelah 3 
bulan itu adalah negatif maka anda perlu membuat satu ujian HIV lagi 
setelah 6 bulan daripada tarikh kemungkinan terkena jangkitan. Ini 
kerana tubuh mungkin mengambil masa selama enam bulan untuk mengeluarkan
 antibodi HIV secukupnya. Jadi 2 ujian setelah 3 bulan dan setelah 6 
bulan mampu memberikan keputusan yang lebih meyakinkan.
Ujian pertama yang menunjukkan keputusan
 negatif iaitu setelah 3 bulan bermakna antibodi HIV tidak dikesan di 
dalam contoh darah yang diuji. Namun ini belum mengesahkan bahawa orang 
berkenaan bebas daripada HIV. Ini adalah kerana terdapat satu tempoh 
(yang dipanggil “window period”) dimana antibodi HIV tidak dapat dikesan
 didalam darah kerana badan belum menghasilkannya, walaupun telah 
terdapat virus HIV yang banyak dalam darah atau air mani. Waktu antara 
jangkitan dengan penghasilan antibodi HIV dipanggil “Window Period”. 
Jadi sepatutnya mereka yang dikesan negatif dalam ujian pertama, perlu 
menjalani ujian darah sekali lagi setelah 3 bulan lagi (iaitu setelah 6 
bulan daripada tarikh kemungkinan terkena jangkitan) supaya status anda 
dapat ditentukan dengan lebih yakin.
Perlu diingatkan bahawa dalam jangkamasa
 enam bulan elakkan aktiviti-aktiviti berisiko tinggi agar ujian-ujian 
anda tidak sia-sia.
Keputusan yang positif bermaksud 
antibodi HIV telah dikesan dalam darah. Walau bagaimanapun, ini tidak 
semestinya bermakna orang itu akan jatuh sakit dalam masa yang singkat. 
Seseorang yang positif HIV perlu mendapatkan kaunseling dan rawatan yang
 sempurna untuk mengekalkan kesihatan dan memanjangkan hayatnya.
Mengapa perlu melakukan ujian HIV awal?
Pengesanan jangkitan HIV yang awal boleh menyebabkan anda mengambil 
langkah-langkah yang sewajarnya untuk melambatkan penyebaran virus HIV 
dalam badan dan boleh melangsungkan hidup lebih lama. Malah anda boleh 
mengelak daripada memindahkan virus HIV kepada pasangan kesayangan anda 
dan orang lain.
Satu lagi sebab yang sangat penting ialah anda boleh menentukan sama ada selamat atau tidak untuk hamil.
Pilihan untuk menjalani Ujian Antibodi 
HIV terletak di tangan anda sendiri. Yang pasti, mengetahui keputusan 
ujian tak kiralah positif atau negatif akan lebih mententeramkan jiwa 
anda daripada terus gelisah tanpa mengetahui situasi yang sebenar.
Walaupun keputusan adalah positif, 
terdapat rawatan untuk melambatkan penyebaran virus HIV dalam badan dan 
anda boleh hidup lebih lama. Jadi ujian HIV awal sangat-sangat penting.
Penyembuhan penyakit HIV/AIDS
Masih tiada lagi ubat atau rawatan untuk menyembuhkan HIV/AIDS. 
Walaubagaimanapun terdapat ubat dan rawatan untuk melambatkan proses 
penyakit ini.
Info Rawatan:
Rawatan untuk HIV melibatkan pemusnahan kuman virus tersebut dan merawat
 simptom yang dialami oleh pesakit seperti ubat antiretrovirus yang 
menyerang dan memusnahkan retrovirus, termasuklah HIV.
Beberapa tahun kebelakangan ini, para 
penyelidik telah mencapai kemajuan besar dalam penghasilan pelbagai 
rawatan pilihan AIDS/HIV.
Sejak akhir tahun 1980-an, para 
profesional perubatan di Amerika Syarikat telah menggabungkan ubat 
antiretroviral ke dalam rejimen rawatan yang dipreskripsikan kepada 
pesakit yang dijangkiti.
Kombinasi tiga atau lebih ubat 
antiretroviral yang biasanya dipanggil ‘dadah koktel’ didapati berkesan 
dalam menurunkan paras jangkitan HIV dalam tubuh individu yang 
dijangkiti dengan cara memperlahankan perebakan HIV.
Lain-lain termasuklah perencat protease,
 Nucleoside Reverse Transcriptase Inhibitors (NRTI) dan Non-nucleoside 
Transcriptase Inhibitors (NNRTI) serta gabungan ubat-ubatan di atas.
Di samping terapi ubat-ubatan dan 
kaunseling, pemakanan yang sihat boleh menyumbang ke arah kehidupan yang
 lebih panjang dan sihat untuk pesakit AIDS.
Makanan berkhasiat membantu pesakit AIDS
 mengekalkan kesihatan mereka dengan memberikan perlindungan daripada 
komplikasi jangkitan berkaitan HIV.
Pengambilan makanan berkalori tinggi 
bersama protein dan karbohidrat yang cukup, boleh mempertahankan diri 
dari kekurangan zat makanan, malserapan nutrien, penurunan sistem imun 
dan susut badan.
Pemakanan yang baik akan membantu 
mengurangkan kesan buruk dadah dan juga meningkatkan kebolehan tubuh 
untuk menyerap ubat-ubatan tertentu.
Terdapat bukti yang kukuh mengenai 
senaman yang dapat memperbaiki mood dan kualiti hidup individu positif 
HIV – menjadikan mereka lebih kuat, meningkatkan daya ketahanan dan 
melindungi mereka daripada infeksi.
Pencegahan AIDS memerlukan disiplin dan 
kekuatan diri. Keperluan ini kadang-kadang sukar untuk dipenuhi tetapi 
ia berkesan dan mampu menyelamatkan nyawa.